Tuesday, June 14, 2011

Mulut celupar tu macho ka?

Ada orang bangga yang dirinya panas baran. Bangga kerana mulutnya celupar. Laser, kata orang sekarang. Ada orang yang memberikan alasan, beliau orang Negeri Sembilan, seorang lagi orang Melaka, seorang lagi orang Kedah.“Apakan daya, kami memang bangsa yang celupar!”, kata mereka.Memang ada yang beralasan begitu.Tetapi mampukah kita memberikan alasan yang sama di depan Tuhan nanti, “ampunkan aku ya Allah. Aku celupar kerana aku orang Negeri Sembilan! Aku melawak brutal kerana aku orang Kedah! Aku suka laser orang sebab mak bapakku semua begitu. Ia mengalir dalam darahku!”Mahukah Allah melayan alasan-alasan itu? Sebelum laser jadi bencana di Sana, muhasabah dulu di alam Sini.Memang ramai yang bangga atas keceluparan mulutnya. Terasa macho. Terasa hebat apabila berjaya memangkah orang. Celupar adalah sifat yang ada pada kebanyakan kita. Tetapi berbangga diri kerana celupar, ini yang bahaya. Orang seperti ini sedang melakukan sesuatu yang menyukarkan dirinya untuk berubah. Mahu terus celuparkah, kalau celupar kita itu menghancurkan rumah tangga? Menyakitkan hati isteri dan anak-anak kita? Mahu terus laser mulutkah, kalau laser itu telah membunuh sekian banyak persahabatan kita? Sampai bila kita mahu terus menipu diri sendiri, berlaku ego semata-mata kerana tidak mahu dilihat tidak macho sebab sudah tidak secelupar dulu? Sampai masa, apabila usia meningkat dewasa, kita tersedar akan kebodohan silam. Jika kita hanya celupar di hari silam, kesedaran boleh mengundang perubahan. Tetapi jika kita pernah berbangga dengan keceluparan, dan melukiskan imej diri sebagai macho kerana laser dan celupar, terimalah balasannya. Ketika hari kita sedar yang kita kena berubah, selepas melihat kehidupan ini binasa, kita tersepit antara menguzurkan keceluparan diri, dengan hilang maruah diri yang selama ini telah memperkenalkan kita sebagai seorang yang hebat kerana celupar.

No comments:

Post a Comment